Thailand akan lanjutkan darurat negara sehingga akhir September

Thaweesilp Wissanuyothin. Foto Facebook

BANGKOK: Thailand akan melanjutkan perintah darurat negara hingga akhir September – pelanjutan kelimanya – berikutan situasi  COVID-19 di seluruh dunia yang masih membimbangkan.

Ketetapan darurat semasa akan berakhir pada 31 Ogos.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) Thaweesilp Wissanuyothin berkata mesyuarat CCSA, yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Jeneral Prayuth Chan o-cha pada Jumaat, bersetuju untuk melanjutkan Ketetapan Darurat, yang telah dilaksanakan sejak 26 Mac untuk membendung penyebaran COVID-19.

“Apabila semua sekatan dikurangkan, ada keperluan (pelanjutan) untuk mencegah penularan lain di dalam negara. Ini juga untuk menguruskan warga Thailand yang pulang dari luar negara,” katanya pada taklimat COVID-19 di sini, pada Jumaat.

Pelanjutan itu tertakluk kepada kelulusan Kabinet Selasa hadapan, katanya.

Setakat ini, Thailand mencatatkan 3,390 kes COVID-19 dengan 58 kematian.

Pada Khamis, Majlis Keselamatan Nasional (NSC) mengulangi bahawa pelanjutan darurat dilaksanakan untuk mencegah penularan lain dalam negara.

Disebabkan Thailand telah mencatat sifar jangkitan tempatan selama hampir tiga bulan, pelanjutan itu mencetus spekulasi bahawa pihaknya berusaha menghentikan penyebaran tunjuk perasaan yang dipimpin oleh pelajar terhadap pemerintah.

"NSC tidak akan menguatkuasakan Ketetapan Darurat untuk mengawal tunjuk perasaan. Sepatutnya tiada masalah jika protes diadakan secara sah,” kata Setiausaha Agung NSC, Jenderal Somsak Rungsita.

Sejak 18 Julai, tunjuk perasaan yang dipimpin oleh pelajar diadakan hampir setiap hari, menentang larangan berkumpul secara besar-besaran di bawah keadaan darurat.

Pada Ahad, Thailand menyaksikan perhimpunan kira-kira 10,000 penunjuk perasaan – satu daripada yang terbesar sejak rampasan kuasa tentera 2004 di negara ini – di Monumen Demokrasi Bangkok, mengulangi tuntutan mereka untuk pembubaran Parlimen, penghentian gangguan terhadap pengkritik kerajaan, dan menulis semula perlembagaan.

— BERNAMA