Tiada belas ihsan

Kuala Lumpur: Hanya tinggal kira-kira dua minggu sahaja lagi, namun difahamkan terdapat beberapa pasukan masih lagi bertungkus lumus menyiapkan dokumen berkaitan penswastaan pasukan dengan tempoh akhirnya adalah hujung bulan ini.

Melihat kepada situasi ketika ini kebanyakan pasukan menghadapi masalah termasuk mencari individu berkelayakan mengambil alih pasukan selain tiada penyelesaian akhir membabitkan perbincangan bersama syarikat swasta sekali gus menyaksikan kemungkinan tempoh akhir mungkin dilanjutkan.

Namun, Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) Datuk Windsor Paul John, pula mengharapkan semua pihak menghormati tarikh akhir berkenaan dengan menyiapkan proses pertukaran daripada Persatuan Bolasepak (FA) kepada Kelab Bolasepak (FC) secepat mungkin.

Beliau berkata, tempoh yang diberikan sejak 2012 untuk menyelesaikan perkara terbabit sudah cukup untuk semua pasukan mematuhinya dan diharapkan tiada lagi talian hayat atau belas ihsan diberikan kepada mereka yang gagal berbuat demikian.

”AFC dan FAM sudah berbincang sebelum ini dan menyatakan tiada lagi talian hayat atau diberikan tempoh lanjutan kepada pasukan yang gagal melakukan proses penswastaan pasukan.

”Sudah lapan tahun setiap pasukan diberikan peluang untuk berbuat demikian dan kali ini saya melihat tiada keperluan kepada mereka untuk mendapatkan talian dengan tempoh sekarang ini berbaki dua minggu saja lagi.

”Kami memandang serius perkara ini dan melihat kepada situasi mungkin pasukan berkenaan dapat menyelesaikan pertukaran FA kepada FC,” katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Sebelum itu, Pengerusi Jawatankuasa Task Force Pelesenan Kelab Profesional FAM Mohd Firdaus Mohamed memaklumkan walau apa jua konsep digunakan oleh pasukan Liga M, beliau percaya hasrat untuk melihat semua pasukan bergerak secara berasingan akan tercapai.

Katanya, menerusi perkembangan semasa dan komitmen yang ditunjukkan oleh semua pihak, isu penswastaan akan dapat diselesaikan sebelum hujung bulan ini.

Bagaimanapun, berdasarkan syarat ditetapkan FAM, pemilikan kelab oleh FA hanya untuk tempoh dua tahun bermula musim depan.

Ini bermakna menjelang 2023, FA tidak dibenarkan untuk memiliki kelab di mana mereka perlu mencari pembeli atau dimiliki secara perkongsian seperti mana diamalkan oleh kelab-kelab di Eropah.

Pada masa ini pemilikan tunggal masih dikuasai individu tempatan yang melihat pelaburan dalam saingan Liga M cukup baik.