Tiada cap jari

Dhaka: Dalam zaman teknologi sekarang, imbasan cap jari sangat penting untuk pengesahan identiti.

Namun, lain pula dengan apa yang berlaku kepada satu keluarga di Rajshahi, Bangladesh yang mengalami pelbagai kesukaran akibat tidak memiliki cap jari.

Penyakit genetik itu menyebabkan kesukaran buat keluarga itu yang dikesan mempunyai masalah mutasi genetik yang jarang berlaku dan hanya membabitkan sebilangan kecil keluarga di dunia.

BBC melaporkan Apu Sarker, 22, yang bekerja sebagai pembantu perubatan mengakui ‘kecacatan’ dialami menyukarkan hidupnya, lebih-lebih lagi untuk hidup di dunia teknologi ini.

Datuknya, ketika masih muda, tidak memiliki cap jari kerana ia bukanlah satu masalah besar buat keluarganya.

“Saya fikir dia (datuk) tidak pernah menganggapnya sebagai masalah,” kata Apu.

Namun dalam era moden, garisan putar di setiap hujung jari dikenali sebagai dermatoglyph menjadi data biometrik yang paling banyak dikumpulkan di dunia.

Pada 2008, ketika Apu masih kanak-kanak, Bangladesh memperkenalkan kad pengenalan khas untuk orang dewasa yang memerlukan pengesahan imbasan cap jari.

Keadaan itu menyebabkan kakitangan bahagian kad pengenalan bingung dan tidak tahu bagaimana mahu memproses kad identiti untuk bapa Apu, Amal Sarker.

Akhirnya, bapanya menerima kad pengenalan dengan tertera ‘tanpa cap jari’.

Pada 2010, imbasan cap jari menjadi syarat wajib untuk membuat pasport dan lesen memandu.

Selepas beberapa kali mencuba, bapanya berjaya mendapatkan pasport dengan menunjukkan surat daripada pakar kesihatan.

Bapa Apu yang bekerja sebagai petani juga amat memerlukan motosikal tetapi tidak mempunyai lesen memandu.

“Saya sudah bayar yurannya dan lulus ujian tetapi mereka tidak mengeluarkan kebenaran kerana saya tidak dapat memberikan cap jari,” kata Amal.

Akibatnya, Amal dua kali didenda polis di jalan kerana tidak memiliki lesen walaupun sudah menunjukkan surat kelulusan.

Malah, dia cuba menjelaskan kepada polis dengan menunjukkan ibu jarinya yang tidak mempunyai garisan halus, namun mereka tidak mempercayainya.

Pada 2016, kerajaan Bangladesh mewajibkan padanan cap jari dengan pangkalan data kebangsaan bagi mereka yang ingin mendapatkan kad SIM bagi telefon bimbit mereka.

“Mereka kelihatan bingung ketika saya datang untuk membeli satu kad SIM,

perisian mereka rosak setiap kali jari saya diletakkan di ‘sensor’,” kata Apu.

Menurutnya, keinginan Apu untuk memiliki kad SIM menyebabkan dia terpaksa menggunakan nama ibunya.