Tiada lagi bubur lambuk Kampung Baru [METROTV]

KEENAKAN bubur lambuk Kampung Baru, Kuala Lumpur yang sering dinanti dan menjadi bualan masyarakat setiap tahun ketika tibanya Ramadan terpaksa dilupakan tahun ini.

Ia susulan Masjid Jamek Kampung Baru tidak akan mengedarkan bubur lambuk berkenaan pada Ramadan ini berikutan penularan wabak koronavirus baharu (Covid-19) yang melanda negara ketika ini.

Ketua Tukang Masak, Zainal Abidin Hamid, 65, berkata, ini kali pertama bubur lambuk tidak dapat diedarkan kepada masyarakat.

“Ini kira sejarah, bubur lambuk Kampung Baru ini sudah 100 tahun dibuat dan diedarkan kepada masyarakat namun tahun ini kami tidak dapat berbuat demikian.

“Walaupun sedih, saya tetap reda dengan apa yang berlaku dan berharap keadaan akan kembali pulih seperti biasa,” katanya ketika ditemui, hari ini.

ZAINAL Abidin reda jika bubur lambuk Kampung Baru tidak dapat diedarkan kepada masyarakat akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan berharap keadaan akan kembali pulih seperti biasa. FOTO Hazreen Mohamad
ZAINAL Abidin reda jika bubur lambuk Kampung Baru tidak dapat diedarkan kepada masyarakat akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan berharap keadaan akan kembali pulih seperti biasa. FOTO Hazreen Mohamad

Berkongsi kisah kewujudan bubur lambuk di kampung berkenaan, Zainal berkata, ia bermula sejak 100 tahun dulu apabila jemaah masjid bersepakat membuat bubur lambuk.

“Saya adalah generasi keempat dan resipi keenakan bubur lambuk adalah turun temurun dari jemaah masjid yang lain.

“Kebiasaannya kami akan mengedarkan 4,000 bubur lambuk setiap hari pada bulan Ramadan setiap tahun, namun kali ini berbeza, hanya tinggal periuk kosong sahaja,” katanya.

Menurutnya, bagaimanapun orang ramai yang ingin merasai keenakan bubur lambuk boleh membuat tempahan kepadanya.

“Ramai orang yang menghubungi saya bertanya mengenai bubur lambuk pada tahun ini, sebab itu saya terima tempahan dengan kuantiti sedikit.

“Sekurang-kurangnya dapat melepaskan kerinduan masyarakat terhadap bubur lambuk Kampung Baru,” katanya.

TAHUN ini merupakan pertama kali dalam sejarah kemungkinan bubur lambuk Kampung Baru tidak dapat disediakan. FOTO Hazreen Mohamad
TAHUN ini merupakan pertama kali dalam sejarah kemungkinan bubur lambuk Kampung Baru tidak dapat disediakan. FOTO Hazreen Mohamad

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan