Tiada maaf jika pasang Jalur Gemilang terbalik – Datuk Ayob Khan

POLIS memberi amaran terakhir kepada pihak yang mempersenda Jalur Gemilang termasuk memasangnya secara terbalik, untuk bersiap sedia ditahan selepas ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, sudah terlalu kerap Jalur Gemilang dipasang secara terbalik dengan alasan tersilap.

“Kita sudah merdeka 63 tahun, tidak sepatutnya berlaku kesilapan lagi. Ini amaran terakhir, tiada maaf lagi jika tersilap selepas ini.

“Saya juga tidak akan beri amaran lagi selepas ini, kalau ada lagi kes sebegini lagi, saya akan arahkan kertas siasatan dibuka sama ada Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia selain Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

“Tiada lagi permohonan maaf dan pelbagai alasan akan diterima selepas ini. Insiden di Kluang contohnya, cuba letak kesalahan pada pihak lain pula,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, hari ini.

Pada 4 Ogos lalu, media melaporkan Jalur Gemilang dipasang terbalik di sebuah sekolah kebangsaan di Kluang.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail dilaporkan berkata, insiden berlaku berikutan kakitangan swasta tersilap menaikkan bendera dan tidak menyedarinya.

Berita berkaitan

• Bukan kerani yang pasang Jalur Gemilang terbalik

• Kerani tak sedar bendera terbalik