Tidak akan terburu-buru buka sempadan negara [METROTV]

Kuala Lumpur: Kerajaan tidak akan terburu-buru untuk membuka sempadan negara bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kawalan sempadan negara akan terus dipertingkatkan untuk mengekang aliran kemasukan individu berpotensi dijangkiti Covid-19 ke dalam negara kita.

“Sempadan negara kita masih ditutup kecuali untuk tujuan perniagaan termasuk pelaburan dan pendidikan dengan syarat pematuhan SOP tertentu ketat.

“Jika dibandingkan dengan situasi di beberapa negara luar, terdapat negara yang masih berusaha keras menangani penularan jangkitan Covid-19 yang belum lagi menunjukkan tanda untuk reda.

“Malah, beberapa buah negara kini menghadapi ancaman gelombang baharu penularan Covid-19. Perkara sama boleh berlaku di Malaysia jika kita leka dan memandang remeh penularan wabak ini di peringkat global,” katanya menerusi Perutusan Khas Perdana Menteri – Situasi Semasa Covid-19 yang disiarkan secara langsung, malam ini.

Muhyiddin berkata, walaupun kawalan sempadan negara yang ketat menimbulkan sedikit kesukaran khususnya kepada orang ramai mempunyai urusan di luar negara, tindakan tegas perlu diambil untuk melindungi rakyat dan negara kita daripada wabak itu,

Beliau berkata, kerajaan perlu mengimbangi antara keperluan untuk melindungi nyawa dan kehidupan rakyat Malaysia.

Menurutnya, sehubungan itu kawalan sempadan negara akan terus diperketatkan termasuk meningkatkan usaha menghalang kemasukan pendatang asing tanpa izin (Pati).

PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19