Tidak rela mengalah

Kuala Lumpur: “Alhamdulillah, saya cukup puas dapat membantu seorang wanita yang ‘buta’ al-Quran kepada celik kalam Allah SWT.

“Terasa sempurna sudah tanggungjawab fardu kifayah sebagai seorang Islam,” kata Omar Abdul Aziz, 52.

Omar yang juga orang kurang upaya (OKU) mengadakan program Jom Mengaji al-Quran atas talian bagi meneruskan kelangsungan hidup menyara keluarganya sejak 17 tahun lalu.

Dia yang menetap di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Laksamana, Pudu di sini, hilang keupayaan diri selepas menghidap penyakit saraf (muscular dystrophy).

Penyakit itu adalah dugaan besar yang perlu ditempuhinya.

Katanya, dia pernah buntu memikirkan cara untuk mencari rezeki memandangkan ketika jatuh sakit, lima anaknya masih kecil.

“Semasa terlantar di hospital, terdetik untuk melakukan sesuatu sebagai bekalan akhirat lalu tercetus idea untuk mewujudkan program Jom Mengaji al-Quran atas talian.

“Kebetulan, saya ada kebolehan mengajar al-Quran hasil didikan bapa, Abdul Aziz Ahmad Daud, yang berusia 80 tahun.

“Malah, saya sudah menjadi guru mengajar al-Quran peribadi secara sambilan sebelum bergelar OKU.

“Pada asalnya, saya mengajar al-Quran dari rumah ke rumah selepas waktu kerja dan hujung minggu ketika bertugas dalam perkhidmatan awam sebagai sumber pendapatan sampingan,” katanya.

Omar yang kini bergelar guru al-Quran berkerusi roda berkata, dia memanfaatkan kemahiran teknologi maklumat dimilikinya untuk mewujudkan program menggunakan platform atas talian iaitu Media Cyber Kalam Penenang Jiwa dan Jom Ngaji al-Quran Penawarnya di Facebook.

“Saya ambil ayat al-Quran di laman web al-Quran, menyunting, susun ayat berkenaan menjadi video dan disertakan tanda bacaan bagi memudahkan pengikut membaca kalam itu dengan tajwid yang betul.

“Semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), video ini mendapat sehingga 12,000 tontonan termasuk pengikut dari luar negara.

“Ada segelintir daripada mereka (pengikut) yang bermurah hati menderma walaupun tanpa diminta,” katanya yang juga penerima bantuan Baitulmal dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Katanya lagi, dia mempunyai tujuh pelajar tetap dan mengenakan bayaran serendah RM50 sebulan namun ada dalam kalangan mereka yang membayar lebih.

“Saya bersyukur, di sebalik ujian ini, Allah SWT permudahkan usaha mencari rezeki bagi membiayai pengajian anak keempat di peringkat ijazah sarjana muda di Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan anak bongsu di tingkatan lima,” katanya.

Omar berkata, selagi hayat dikandung badan, dia akan meneruskan program itu kerana mahu menarik lebih ramai individu menjadikan al-Quran sebagai sahabat.

“Bacalah al-Quran setiap hari walaupun hanya tiga potong ayat kerana kesannya sangat besar dalam kehidupan,” katanya.