Tiga beranak ditahan dera amah

PENDERITAAN pembantu rumah warga Indonesia yang dikurung dan dipaksa berkerja tanpa gaji selama setahun berakhir apabila tiga beranak yang melakukan eksploitasi terhadap wanita itu ditahan, kelmarin.

Dalam kejadian pada 8.45 malam itu, wanita berusia 31 tahun itu diselamatkan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung dalam serbuan di Taman Desa Pantai 2, Pantai Remis di Manjung.

Ketua JSJ Perak, Senior Asisten Komisioner Anuar Othman berkata, dalam serbuan itu, pihaknya turut menahan majikan mangsa iaitu wanita dan dua anaknya masing-masing seorang lelaki dan wanita.

Menurutnya, mangsa dipaksa bekerja setiap hari dan tidak dibayar gaji sepanjang tempoh itu selain turut dikurung di dalam rumah berkenaan.

“Mangsa juga dipukul oleh majikan dan dua anak majikannya sehingga mengalami kecederaan ringan.

“Susulan itu, polis menahan dua wanita dan seorang lelaki dalam rumah berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Anuar berkata, mangsa dikatakan dihantar seorang ejen untuk bekerja di rumah berkenaan sejak Ogos 2019.

“Ketiga-tiga suspek direman sehingga Khamis ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Manusia Dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

“Mangsa dihantar ke rumah perlindungan sementara menunggu siasatan lanjut dijalankan,” katanya.