Tiga jam tunai umrah

Makkah: Setiap jemaah akan diberi masa tiga jam untuk menunaikan umrah dengan bermula dan berakhir di kawasan khusus sekitar Tanah Suci pada peringkat pertama pembukaan semula ibadat itu.

Arab News melaporkan peringkat pertama itu dijadualkan bermula 4 Oktober ini dan akan dilaksanakan melalui aplikasi I’tamarna.

Berdasarkan perancangan, penetapan kawasan khusus di sekitar Tanah Suci akan membenarkan 6,000 jemaah menunaikan umrah pada enam waktu berlainan setiap hari dengan setiap kumpulan 1,000 jemaah diberikan masa tiga jam.

Pengusaha syarikat umrah, Ahmed Bajaiffer memaklumkan bahawa Kerajaan Arab Saudi memutuskan untuk membuka semula ibadat itu selepas digantung akibat pandemik Covid-19, ‘kerana percaya umat Islam tidak harus berhenti menunaikannya tetapi pada masa sama, mematuhi langkah pencegahan.’

Peringkat pertama berkenaan akan membenarkan rakyat tempatan serta ekspatriat yang tinggal di Arab Saudi untuk menunaikan umrah sebelum kapasiti diperluaskan kepada jemaah dari luar negara pada peringkat seterusnya.

Bajaiffer berkata, sebuah forum diadakan baru-baru ini, membincangkan pembukaan kapasiti hingga 30 peratus pada peringkat pertama itu.

“Penilaian akan dilakukan pihak berkuasa berkaitan sebelum kebenaran diberi untuk kapasiti ditingkatkan kepada 75 peratus pada fasa kedua serta kapasiti penuh pada fasa ketiga bagi menerima kemasukan jemaah dari luar Arab Saudi,” katanya.

Wartawan dan penulis khas mengenai umrah serta haji, Ahmed Saleh Halabi berkata, keputusan membuka semula umrah menyaksikan keprihatinan pemimpin Arab Saudi untuk membantu umat Islam menunaikan ibadat itu dengan selamat, sejajar penekanan terhadap langkah mencegah jangkitan Covid-19.

“Pembukaan semula ibadat itu secara beransur-ansur boleh membantu mengurangkan krisis kewangan yang ditanggung syarikat dan institusi umrah,” katanya.

Halabi turut memetik Menteri Haji dan Umrah sebagai berkata, ‘ada lebih 30 syarikat tempatan dan antarabangsa yang boleh mengendalikan perkhidmatan umrah untuk jemaah.’

  • Lagi berita berkaitan Covid-19