Tiga konsep pakaian Ismail Sabri

MENTERI Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memilih tiga konsep pakaian yang disesuaikan mengikut hari setiap kali membuat kemunculan pada sidang media harian berhubung situasi semasa negara.

Beliau menyedari bahawa kemunculannya di kaca televisyen sentiasa dinantikan rakyat yang peduli dan peka untuk mengetahui keadaan semasa.

Katanya, hanya dua individu mewakili kerajaan selain Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dibenarkan untuk mengeluarkan kenyataan harian berhubung keadaan semasa isu Covid-19 iaitu dirinya dan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

“Saya sedar bukan sahaja pemakaian, malah apa saja berkaitan saya dilihat teliti oleh rakyat. Sebenarnya, saya ada tiga konsep pemakaian iaitu pada hari bekerja dengan pemakaian imej pekerja.

“Pada Khamis pula, saya akan mengenakan batik, manakala bagi Sabtu, Ahad atau cuti umum pula pemakaian saya adalah santai dengan mengenakan batik berwarna cerah.

“Ini kerana batik Malaysia adalah yang terbaik di dunia. Ia secara tidak langsung sebagai kaedah bagi mempromosikan batik termasuk tenunan Pahang,” katanya pada temu bual di Bernama TV, hari ini.

Ismail berkata, setiap sidang media dilaluinya adalah suatu yang mencabar memandangkan ia dilakukan secara langsung.

“Rakyat dalam keadaan kebimbangan dengan situasi semasa. Justeru, saya mesti dilihat tenang dan menjawab soalan dikemukakan dengan tepat.

“Ini kerana maklumat yang disampaikan adalah bagi pihak kerajaan. Apa yang saya boleh katakan setakat ini, adalah baik namun penilaian dilakukan oleh rakyat sendiri dan saya harap tiada kesalahan besar dilakukan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan