Tiga lagi pesakit Covid-19 meninggal dunia [METROTV]

PUSAT Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) melaporkan tiga kes kematian berkaitan wabak Covid-19 dan 118 kes positif baharu, setakat 12 tengah hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, peningkatan itu menjadikan jumlah kumulatif kematian adalah 70 kes manakala jumlah keseluruhan kes sebanyak 4,346 kes.

Menurutnya, 69 pesakit menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 40 memerlukan bantuan pernafasan.

“Seramai 222 orang telah pulih dan dibenarkan discaj hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya Covid-19 adalah sebanyak 1,830 kes iaitu 42.11 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Ini bermakna, bilangan kes yang di discaj hari ini juga adalah melebihi bilangan kes baharu yang dilaporkan,” katanya pada sidang media harian di Putrajaya, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, kes kematian ke-68 (kes ke-694) adalah lelaki warganegara Malaysia berusia 62 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis.

“Beliau mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes positif Covid-19 daripada kluster Seri Petaling (kes ke-159) di mana telah dirawat di Hospital Queen Elizabeth, Sabah

pada 17 Mac dan disahkan meninggal dunia 8.21 pagi ini.

“Kes kematian ke-69 (kes ke-4229) adalah lelaki warganegara Malaysia berusia 77 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis,” katanya.

Beliau berkata, lelaki terbabitdirawat di Hospital Kuala Lumpur pada 27 Macdan disahkan meninggal dunia pada 4 pagi ini.

“Kes kematian ke-70 (kes ke-4230) adalah wanita warganegara Malaysia berusia 88 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi, penyakit jantung dan dementia.

“Beliau mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes positif Covid-19 (kes ke-1684). Beliau dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya pada 20 Mac dan disahkan

meninggal dunia pada 2.38 pagi ini,” katanya.

Selain itu, Dr Noor Hisham berkata, seramai 222 pesakit dibenarkan pulang dengan jumlah keseluruhan pesakit sembuh daripada jangkitan itu seramai 1,830 orang bersamaan 42.11 peratus.

DR Noor Hisham Abdullah. FOTO arkib NSTP
DR Noor Hisham Abdullah. FOTO arkib NSTP

  • Lagi berita berkaitan Covid-19