Tiga penjuru di PRK Slim [METROTV]

PILIHAN Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Slim menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) dan dua calon Bebas.

Pegawai Pengurus Pilihan raya, Shamsul Ridzuan Idris mengumumkan senarai calon yang bertanding pada 10.35 pagi, hari ini selepas proses penamaan calon di Dewan Sri Tanjung, Majlis Daerah Tanjung Malim dekat Tanjung Malim ditutup pada 10 pagi.

Shamsul Ridzuan berkata, selepas menyemak kertas pencalonan pihaknya berpuas hati dan tiada calon yang ditolak pencalonannya.

Pada PRK ini, BN mempertaruhkan Pemangku Ketua Umno Bahagian Tanjung Malim, Mohd Zaidi Aziz, 43, bagi mempertahankan kerusi DUN itu kekal milik BN.

Mohd Zaidi menjadi individu kedua mengemukakan borang pencalonan pada 9.03 pagi dan pencalonan calon BN dicadang oleh Yang Dipertua PAS Kawasan Tanjung Malim, Mohd Tarmizi Ab Rahman dan disokong Setiausaha MIC Bahagian Tanjung Malim, G Mahendran, 74.

Bertanding atas tiket Bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, 38, mewakili kumpulan penyokong bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi individu ketiga mengemukakan borang pencalonan pada 9.04 pagi.

Pencalonan Amir Khusyairi yang juga peguam syarie dan peguam bela itu menggunakan simbol pokok.

Pertandingan kali ini turut menyaksikan seorang lagi calon Bebas, S Santharasekaran, 44, mengemukakan borang pencalonan pada 9.02 pagi.

Santharasekaran yang juga Presiden Pertubuhan Konservasi Alam Malaysia (PERKAM) menggunakan simbol buku dalam pilihan raya ini.

PRK Dun Slim diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib, 59, yang juga Ketua Umno Bahagian Tanjung Malim akibat serangan jantung, 15 Julai lalu.

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14, Mohd Khusairi mempertahankan kerusi dengan majoriti 2,183 undi menewaskan calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang bertanding atas tiket PKR, Mohd Amran Ibrahim dan calon PAS, Muhammad Zulfadli Zainal.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian awal pada 25 Ogos manakala hari mengundi pada 29 Ogos ini membabitkan 23,094 pengundi.

Senarai calon ikut turutan:

1. Amir Khusyairi Mohamad Tanusi (Bebas – simbol pokok)

2. Mohd Zaidi Azizi (BN – simbol dacing)

3. S Santharasekaran (Bebas – simbol buku)

  • Lagi berita berkaitan PRK Slim