Tikam ibu 118 kali

London: Tikam 118 kali. Itu tindakan kejam seorang remaja lelaki di Hampshire di United Kingdom yang tergamak membunuh ibu kandungnya.

Malah, selepas melakukan jenayah itu, Rowan Thompson , 17, menghubungi polis untuk memaklumkan kejadian sebelum meminta pihak berkuasa untuk membawa beg mayat.

Ketika pendengaran inkuiri kematian mangsa mahkamah dimaklumkan bahawa remaja itu mencekik ibunya, Joanna Thompson, 50, ketika mangsa berada di ruang tamu rumah mereka di Hambledon pada tarikh 1 Julai tahun lalu.

The Sun melaporkan bahawa 10 atau 15 minit kemudian, remaja itu menikam ibunya, 38 kali di dahi, 64 kali di leher dan 16 kali lagi di lengan wanita itu.

Pada jam 12.45 tengah hari sama, lelaki itu yang juga pelajar di sebuah sekolah swasta menghubungi talian kecemasan 999 dan dengan nada tenang dan agak selamba berkata: “Saya baru membunuh ibu saya.”

Selain itu, mahkamah dimaklumkan bahawa remaja itu turut memberitahu kepada petugas di talian sama bahawa: “Saya mencekik dan menikamnya dengan pelbagai jenis pisau dan benda lain.”

Rowan kemudian ditahan polis, tetapi ditemui mati di pusat tahanan pada Oktober tahun sama, hanya empat hari sebelum dia dibicarakan atas tuduhan membunuh ibunya.

Dalam pada itu, media tempatan melaporkan bahawa adik kepada remaja itu, Sophie Rugge-Price memberitahu mahkamah, dalam dua atau tiga tahun kebelakangan ini, Rowan mulai menunjukkan tanda-tanda kemurungan dan mempunyai kecenderungan membunuh diri.

“Rowan juga mengubah nama dan jantina, dia menetapkan dirinya sebagai seorang yang tidak mempunyai jantina (genderless),” katanya.