Timbalan Pendakwa Raya sebak [METROTV]

“ALHAMDULILLAH kes sudah selesai. Kita terima keputusan mahkamah,” kata Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim dalam nada sebak.

Beliau mengendalikan kes pembunuhan 23 individu dalam kejadian kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Kuala Lumpur, hampir tiga tahun lalu.

Bagaimanapun, katanya, pihak pembelaan memberitahu mahkamah mereka bercadang untuk mengemukakan rayuan terhadap hukuman.

“Kami terima keputusan mahkamah kerana kami sudah pun buat sebaik mungkin walaupun cuma seorang saja disabitkan dan seorang lagi tidak dapat dicamkan.

“Sekarang ini menunggu peringkat rayuan dalam masa 14 hari,” katanya ditemui selepas keputusan kes perbicaraan itu.

Mahkamah Tinggi sebentar tadi menjatuhkan hukuman penjara sehingga mendapat pengampunan Yang di-Pertuan Agong terhadap remaja berkenaan.

Sementara itu, peguam bela tertuduh, Mohd Haijan Omar berkata, pihaknya akan memfailkan rayuan dalam tempoh terdekat seperti diperuntukkan undang-undang.

“Kita akan lalui proses yang adil mengikut proses undang-undang Seperti mana diperuntukkan dalam kanun acara jenayah, kita akan failkan dalam tempoh 14 hari,” katanya.

Menurutnya, ibu tertuduh hadir mendengar keputusan itu dan menangis dengan hukuman berkenaan.

JULIA bercakap kepada wartawan selepas keputusan seorang remaja dituduh membunuh 23 individu dalam kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah. FOTO Asyraf Hamzah
JULIA bercakap kepada wartawan selepas keputusan seorang remaja dituduh membunuh 23 individu dalam kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah. FOTO Asyraf Hamzah

Berita berkaitan

• Remaja bakar tahfiz dipenjara hingga dapat pengampunan Agong