Tindakan tegas halang tugas penjawat awam [METROTV]

INDIVIDU yang enggan bekerjasama dengan petugas kesihatan akan berdepan tindakan tegas kerana menghalang tugas penjawat awam.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan tidak akan berkompromi dengan mereka dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Katanya, ia susulan isu keengganan individu tertentu memberikan kerjasama kepada petugas kesihatan seperti yang timbul semalam.

“Mesyuarat memutuskan tindakan tegas akan diambil kepada mereka iaitu mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam.

“Menghalang tugas bukan saja kepada pegawai polis, tetapi kepada sesiapa sahaja penjawat awam yang menghalang operasi kita untuk memutuskan rantaian Covid-19 ini,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.


Katanya, mengikut seksyen berkenaan mereka boleh dihukum penjara maksimum dua tahun dan denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Beliau berkata, tindakan yang lebih tegas termasuk dihadapkan ke mahkamah juga menanti mereka yang masih ingkar dengan arahan pematuhan PKP.

Menurutnya, ini kerana masih ramai yang ingkar dan mereka akan dituduh di bawah Seksyen 24 Akta (Akta 342) yang membawa hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

“Bagi kesalahan kedua di bawah akta ini, ia boleh membawa hukuman penjara tidak lebih lima tahun dan denda atau kedua-duanya sekali. Semalam kita lihat pertambahan dari segi jumlah tangkapan, bermakna pihak polis tidak lagi berkompromi dan akan dihadapkan terus ke mahkamah,” katanya.


Pada sidang media itu, beliau turut memaklumkan seramai 1,095 individu ditahan kerana ingkar PKP, 815 daripadanya dikenakan kompaun, 242 direman manakala 38 dijamin polis.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan