Tinggal jenazah cari duit

Jakarta: Hanya kerana tidak cukup wang, seorang lelaki terpaksa meninggalkan jenazah isterinya selama hampir 24 jam sebelum jasad wanita itu dikebumikan.

Dalam tempoh itu, Dedy terpaksa meminta jirannya menjaga jenazah isterinya, Indah Kusaeni, 30, sementara dia keluar meminjam wang untuk urusan pengebumian.

Tribunnnews melaporkan ketika dia pulang dari kerja pada Ahad lalu, dia menemui isterinya sudah meninggal dunia.

Wanita menderita penyakit berkaitan kelenjar limfa sejak beberapa tahun lalu.

Jiran lelaki itu, Damayanti berkata, jenazah wanita sudah dimandi dan dikafankan itu diletakkan di dalam bilik rumah berkenaan selama hampir 24 jam.

Katanya, wanita itu tidak dapat dikebumikan kerana menunggu Dedy mendapatkan ambulans untuk membawa jenazah ke tanah perkuburan.

“Isterinya meninggal dunia jam 3 petang dan dibawa ke Hospital Gatoel, jam 4 petang. Jenazah dibawa pulang ke rumah pada jam 1 pagi, Isnin lalu.

“Dedy kemudian keluar mencari kawasan perkuburan dari jam 2 pagi sehingga 9 pagi,” katanya.

Bagaimanapun, lelaki itu sekali lagi keluar untuk mencari ambulans.

Damayanti berkata, Dedy masih tidak pulang sehingga jam 11 pagi dan jiran kemudian mengambil keputusan menghubungi polis Mojokerto.

Dedy memohon maaf kerana bukan sengaja mahu meninggalkan mayat isterinya, tetapi dia perlu mencari wang untuk urusan pengebumian.

“Saya mohon maaf, saya mencari kawasan kubur. Saya mahu minta bantuan ambulans untuk membawa jenazah isteri saya.

“Alhamdulillah, saya ‘dapat’ ambulans percuma dari Palang Merah Indonesia (PMI),” katanya

Dia mengakui tidak mempunyai wang yang cukup untuk menguruskan jenazah isterinya, apatah lagi membayar perkhidmatan ambulans.

“Saya tidak ada duit untuk membayar bil hospital dan berusaha untuk meminjam. Itu pun (bayaran hospital) belum selesai termasuk untuk kubur kerana ia perlu juga dibayar,” katanya.

Ketua Polis Kulon, M Sulkan berkata, jenazah wanita itu kemudian dibawa menggunakan ambulans PMI dan dikebumikan Tanah Perkuburan Kecamatan Gedeg Mojokerto.