‘Tok Tam teringin sangat ke Cameron Highlands’

“SAYA ada cakap ramai sangat jumlah naik kereta itu, tetapi Tok Tam yang awalnya menaiki kereta bersama kami sewaktu ke Pulau Pangkor, teringin sangat hendak ke Cameron Highlands,” kata Muhammad Hilme Zakaria.

Muhammad Hilme, 29, adalah cucu saudara kepada Fatimah Mat Isa, 68, yang mesra dipanggil Tok Tam iaitu seorang daripada tujuh mangsa maut dalam kemalangan di Kilometer 5, Jalan Keramat Pulai, Ipoh menghala ke Cameron Highlands, semalam.

Muhammad Hilme berkata, dia terkejut menerima perkhabaran berhubung kejadian itu daripada anak kepada Fatimah pada 6.30 petang semalam.

“Kali terakhir kami bertemu mereka di jeti ketika pulang dari Pulau Pangkor ketika mahu mengambil barangan mereka untuk dibawa pulang memandangkan mereka menaiki kenderaan itu seramai 10 orang.

“Oleh kerana Tok Tam teringin sangat hendak ke Cameron Highlands, dia naik kenderaan sama dengan mereka yang lain manakala saya dan keluarga pulang ke Kulim,” katanya ketika ditemui di Kampung Badlishah, Serdang, Kulim, hari ini.

Muhammad Hilme berkata, biarpun sedih dengan kejadian menimpa ahli keluarganya itu, dia pasrah dan mendoakan segala urusan pengebumian semua jenazah dipermudahkan.

Sementara itu, isterinya, Norazila Abdul Karim, 27, berkata mereka bertolak dari Kulim ke Pulau Pangkor bersama dua keluarga terbabit dalam nahas itu pada awal pagi Ahad lalu dengan menaiki dua kenderaan berasingan.

Dia berkata, mereka merancang percutian bersama ke Pulau Pangkor sejak seminggu lalu, namun dua keluarga berkenaan meneruskan percutian ke Cameron Highlands pada Isnin lalu.

“Sebelum bertolak ke Pulau Pangkor, Tok Tam beberapa kali ajak kami ke Cameron Highlands, tapi kami tak boleh pergi sebab suami bekerja pada Selasa.

“Jadi, pada Isnin kami pulang ke Kulim manakala mereka pergi ke Cameron Highlands dan dikatakan akan pulang ke Kulim semalam,” katanya.

Menurutnya, sepanjang berada di Pulau Pangkor, Tok Tam sering mencium dan belanja dua anak mereka macam-macam sehingga dia merasakan agak pelik dengan sikap ditunjukkannya itu.

Katanya, apabila mendapat tahu kemalangan menimpa arwah, barulah dia sedar mungkin itu petanda warga emas itu akan meninggalkan mereka buat selamanya.

Berita berkaitan

• ‘Kiranya Haziq seorang sajalah yang hidup?’

• ‘Percutian tragis dua keluarga’

• ‘Perodua Alza masuk laluan bertentangan sebelum terbalik’

• ‘7 maut MPV bertembung lori’