‘Tolonglah disiplin, jangan melawat saudara pulak…’ [METROTV]

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) meminta individu tidak sihat dan menjalani kuarantin di rumah supaya jangan melakukan aktiviti mengunjungi saudara-mara, sekali gus ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, mereka tidak sihat itu bertanggungjawab mematuhi kuarantin dan PKP bagi mengekang penularan jangkitan Covid-19 secara meluas dalam masyarakat.

Beliau kesal dengan sikap segelintir individu yang tidak mengendahkan kepentingan arahan untuk menjalani kuarantin di rumah seperti dikehendaki petugas kesihatan.

“Misalnya, bagi kes kematian ke-64, beliau dan beberapa orang lain meneruskan perjalanan ke luar kawasan iaitu ke dua negeri, meskipun PKP berkuat kuasa mulai 18 Mac lalu.

“Didapati kenderaan di jalan raya makin meningkat. Kementerian khuatir sekiranya ketidakpatuhan masyarakat ini akan meningkatkan lagi penularan jangkitan Covid-19.

“Mengambil kira situasi semasa ini, kita ingin menggesa orang ramai supaya kekal patuh kepada PKP. Ini adalah amat penting bagi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

WARTAWAN bertanya soalan kepada Dr Noor Hisham ketika sidang media berhubung situasi semasa jangkitan Covid-19 di Putrajaya, hari ini. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
WARTAWAN bertanya soalan kepada Dr Noor Hisham ketika sidang media berhubung situasi semasa jangkitan Covid-19 di Putrajaya, hari ini. FOTO MOHD FADLI HAMZAH

Berbaki tempoh kurang seminggu sebelum PKP fasa kedua berakhir pda 14 April, Dr Noor Hisham menasihatkan orang ramai supaya duduk di rumah sambil mengamalkan beberapa amalan penjagaan kesihatan bagi mengekang penularan virus.

Beliau berkata, orang ramai wajar mengekalkan tahap kebersihan optimum pada setiap masa seperti kerap mencuci tangan dengan menggunakan air dan sabun.

“Selain itu, jarak sosial sekurang-kurangnya satu meter dari orang lain harus dikekalkan.

“Kementerian akan terus memantau perkembangan kejadian Covid-19 melalui segala maklumat diperoleh dan akan dimaklumkan kepada rakyat dari semasa ke semasa,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19