Tragedi lemas: ‘Arwah Apis hero kami’

Batu Pahat: “Pengorbanan Allahyarham Apis yang sanggup mengorbankan nyawanya demi menyelamatkan adik bongsu saya begitu begitu besar bagi kami sekeluarga,” kata Mohd Zulhazmi Adhan, 25, abang sulung kepada Muhammad Naqiuddin Adnan (Apis), 16, yang lemas di Kampung Parit Haji Ali Laut, Parit Raja dekat sini, hari ini.

Menurut Zulhazmi, ketika kejadian dia dan ibu bapanya masih di tempat kerja, mereka hanya mendapat tahu mengenai tragedi itu selepas dihubungi jiran melalui panggilan telefon.

“Sebelum kejadian ayah ada pulang ke rumah sebentar pada tengah hari sebelum kembali ke tempat kerja dan melihat Muhammad Naqiuddin yang lebih mesra di panggil Apis bersama adik bongsu (Akmal Muzakir, 12) di rumah.

“Tak sangka mereka berdua bersama kawan-kawan pergi bermain di parit yang berdekatan dengan kawasan rumah.

“Kali terakhir saya berjumpa dengan arwah pada sebelah pagi sebelum pergi kerja, itu kali terakhir saya melihat dia,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

GAMBAR kenangan Zulhazmi (kiri) bersama arwah adiknya, Mohd Naquiddin. FOTO Ihsan Keluarga
GAMBAR kenangan Zulhazmi (kiri) bersama arwah adiknya, Mohd Naquiddin. FOTO Ihsan Keluarga

Zulhazmi berkata, ketika menerima berita kehilangan Apis selepas menyelamatkan adik bongsu dan rakannya yang lain, mereka sekeluarga begitu berharap dia segera ditemui.

“Pihak berkuasa dan penduduk banyak membantu ketika usaha mencari dan menyelamat arwah Apis yang hilang hampir 15 jam sebelum jasad Apis ditemui pagi tadi.

“Walaupun Apis ditemui sudah tidak bernyawa, kami sekeluarga reda dan menerima takdir yang ditentukan Ilahi. Kami mendoakan roh arwah dicucuri rahmat Allah SWT,” katanya.

Katanya, tiada tingkah laku pelik dilakukan Apis kebelakangan ini kerana arwah seorang adik yang begitu mesra dan manja dengan keluarga.

“Ketika ini kami sekeluarga masih lagi bersedih dengan kehilangan arwah dan keadaan adik bongsu saya yang terselamat dalam tragedi itu tenang, namun masih trauma kerana dia begitu rapat dengan arwah abangnya itu.

“Arwah Apis anak ketiga daripada empat beradik dalam keluarga. Dia tetap menjadi hero yang hebat buat kami sekeluarga,” katanya.

Terdahulu, jenazah Muhammad Naqiuddin selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Parit Raja selepas Asar, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, mayat mangsa ditemui pada jarak lima meter (m) di dasar parit dari lokasi kejadian pasa 8.40 pagi hari ini.

“Hasil siasatan mendapati pada 4 petang semalam, mangsa turun mandi ke parit berkenaan bersama dengan adiknya dan empat rakan berusia lingkungan 10 hingga 13 tahun.

“Lebih kurang 30 minit mandi-manda, adik mangsa dan dua lagi rakannya dibawa arus, kemudian mangsa berjaya menyelamatkan ketiga-tiga mereka dengan menarik ke tepi parit berkenaan, manakala dua lagi rakan adik mangsa yang turut mandi bersama terselamat.

“Akibat keletihan mangsa kemudian dilihat hanyut dibawa arus dan tenggelam. Manakala adik serta empat rakannya tidak berupaya menolong dan memanggil bantuan daripada penduduk berhampiran,” katanya dalam kenyataannya, di sini.

Berita berkaitan

• Abang dipercayai lemas lepas selamatkan adik