Tragedi lemas: Terkorban ketika nak hantar ahli keluarga ke tahfiz

Betong: Sembilan sekeluarga yang terkorban dalam tragedi di pangkalan feri Triso, Beladin, di sini, hari ini, dipercayai dalam perjalanan menghantar seorang daripada mereka untuk mengikuti pengajian di sekolah tahfiz di Kuching.

Dalam kejadian 3.05 petang itu, semua mangsa disahkan terkorban selepas terperangkap di dalam kenderaan mereka yang terjunam ke dalam Sungai Batang Lupar.

Mangsa yang terkorban ialah pemandu Ford Ranger itu, Ronany Ting, 33 serta lapan penumpangnya iaitu Siti Aisha Abdullah, 36; Nor Shuhada Mohamad, 16; Alvin Phang, 12; Khairunnisa Muhamad, 14; Mohd Aiman Mohd Hamdan, 7; Wallace Phang, 7; Mohd Hamdan, 5, dan Muhd Mustaqim Mohd Ahmad Mohd Hamdan, 4 bulan.

Sumber berkata, antara penumpang kenderaan adalah seorang wanita mualaf bersama dua anaknya dan yang lain mempunyai pertalian keluarga dengannya.

Katanya, difahamkan kejadian itu berlaku apabila kenderaan yang dinaiki sembilan mangsa itu cuba berundur selepas kapasiti feri ketika sudah penuh.

“Berdasarkan maklumat saksi, kenderaan itu tiba-tiba meluncur ke arah sungai lalu terjunam dalam arus yang agak deras,” katanya ketika dihubungi.

Orang ramai yang menyedari kejadian itu berusaha membantu mengeluarkan mangsa yang terperangkap, namun ketika dikeluarkan semua mangsa tidak sedarkan diri.

Kesemua mangsa kemudian dihantar oleh polis ke Klinik Kesihatan Beladin untuk proses pengesahan kematian dan pengurusan mayat.

Kematian semua mangsa disahkan oleh Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Beladin, Awang Mohd Hamizan Awang Indra pada 7 malam ini.

Sementara itu, Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada 3.14 petang.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Saratok dan BBP Simunjan dikejarkan ke lokasi.

“BBP Saratok terletak 98 kilometer dari lokasi manakala BBP Simunjan pula 62 kilometer,” katanya.

Berita berkaitan

• [UPDATE] Seorang lagi meninggal dunia

• 8 sekeluarga lemas, kenderaan jatuh sungai [METROTV]