Tragedi Tahfiz Ittifaqiyah: Memori akhir bersama anak [METROTV]

LUKISAN pokok besar berlatarbelakangkan pemandangan indah menjadi memori akhir Nasrun Mat Yusuf bersama anaknya, Allahyarham Muhammad Nizamuddin untuk dikenang sampai bila-bila.

Ini kerana karya yang belum siap sepenuhnya itu menjadi topik perbualan terakhir Nasrun, 49, dengan Muhammad Nizamuddin sebelum kematiannya dalam kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur, tiga tahun lalu.

Tragedi itu mengorbankan 23 nyawa, kembali diperkatakan apabila Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Isnin lalu memutuskan bahawa seorang remaja lelaki bersalah kerana menyebabkan kejadian berkenaan.

Nasrun berkata, mereka berbual mengenai karya itu sebulan sebelum kejadian pada 14 September 2017 dan Allahyarham tidak banyak beri reaksi.

“Saya ingat saya katakan kepadanya (arwah) yang saya tidak tahu bila lukisan itu akan siap. (Kini) nampaknya memang tidak siap, arwah pun sudah tiada,” katanya kepada Harian Metro.

Nasrun yang juga bekas perunding kejuruteraan mengakui kerinduan terhadap anaknya tidak pernah padam dan lukisan berkenaan terlalu sukar untuk disiapkan, serta hanya tersimpan rapi di rumah.

KUALA LUMPUR 20 OGOS 2020. Bapa mangsa tragedi kebakaran tahfiz, Nasrun Mat Yusuf menunjukkan lukisan kenangan bersama arwah anaknya yang dilukis sebulan sebelum tragedi kebakaran Pusat Tahfiz Datul Quran Ittifaqiyah. NSTP/ASYRAF HAMZAH
KUALA LUMPUR 20 OGOS 2020. Bapa mangsa tragedi kebakaran tahfiz, Nasrun Mat Yusuf menunjukkan lukisan kenangan bersama arwah anaknya yang dilukis sebulan sebelum tragedi kebakaran Pusat Tahfiz Datul Quran Ittifaqiyah. NSTP/ASYRAF HAMZAH

Katanya, rindu itu sedikit terubat selepas Mahkamah Tinggi mensabitkan kesalahan ke atas pesalah.

Sebelum ini Nasrun berkata, dia sekeluarga menyangka mahkamah akan memutuskan sebaliknya selepas mengikuti perkembangan kes menerusi kumpulan WhatsApp dan laporan media.

“Saya fikir-fikir balik, mungkin Allah SWT yang akan mengadili suspek ini nanti. Tetapi hukuman diputuskan (Mahkamah Tinggi) meringankan beban rasa yang ditanggung selama tiga tahun lalu.

“Apapun, saya sudah memaafkan perbuatan remaja terbabit. Kehidupan keluarga saya dan abang arwah (Zunnun Misri, 18) diteruskan seperti biasa.

“Kami terima takdir ini dan kita semua juga akan mati apabila tiba masanya,” katanya yang kini menjadi pelukis sepenuh masa.

KUALA LUMPUR 20 OGOS 2020. Bapa mangsa tragedi kebakaran tahfiz, Nasrun Mat Yusuf ketika ditemubual wartawan di Wangsa Walk. NSTP/ASYRAF HAMZAH
KUALA LUMPUR 20 OGOS 2020. Bapa mangsa tragedi kebakaran tahfiz, Nasrun Mat Yusuf ketika ditemubual wartawan di Wangsa Walk. NSTP/ASYRAF HAMZAH

Dia berkata sentiasa terkenangkan arwah apabila melihat lukisan pokok besar terbabit dan arwah disifatkan mempunyai ciri kepimpinan tinggi.

Bagi mengisi masanya, Nasrun kini menumpu kepada penghasilan lukisan bertemakan mukjizat nabi dan keagamaan untuk menjana pendapatan.

“Alhamdulillah, setakat ini ada yang berminat untuk membeli lukisan saya. Insya-Allah saya mahu mengembangkan lagi bakat ini dan doakan saya berjaya,” katanya yang berkarya di sebuah pusat beli-belah di Wangsa Maju.