Trauma si ‘penamat riwayat’

London: Seorang ketua jururawat kini menanggung tugas berat apabila dipertangunggjawabkan untuk menghentikan mesin pernafasan bagi pesakit Covid-19.

Juanita Nittla, 42, yang bertugas Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Royal Free di sini, ditugaskan berbuat demikian untuk pesakit yang disifatkan ‘tiada harapan untuk pulih.’

Dalam laporan Metro.co.uk, Nittla berkata, tugasnya itu adalah satu mimpi ngeri sehingga dia sukar melelapkan mata.

Menurutnya, dia sudah bekerja di ICU hospital berkenaan sejak 16 tahun lalu.

Bercakap kepada BBC, dia menganggap kerjaya itu sebagai sesuatu yang mendukacitakan dan traumatik kerana ‘bertanggungjawab’ atas kematian seseorang.

“Saya melalui mimpi ngeri dan sukar untuk melelapkan mata, malah turut bimbang dijangkiti virus berkenaan,” katanya.

Sebelum menghentikan mesin pernafasan, Nittla akan meletakkan telefon di telinga pesakit bagi memberi peluang untuk ahli keluarga mengucapkan kata-kata akhir.

Dia juga akan memainkan lagu permintaan keluarga pesakit sebelum mesin itu dihentikan.

Mesin pernafasan membolehkan pesakit bernafas apabila oksigen dapat masuk dan keluar dari paru-paru.

Ramai pesakit Covid-19 yang kritikal memerlukan bantuan mesin berkenaan untuk memberikan mereka peluang melawan virus berkenaan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19