Trump negatif ujian kedua Covid-19

Washington: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan dia menjalani ujian Covid-19 kali kedua dan keputusannya negatif pada Khamis lalu susulan penularan wabak itu di Rumah Putih.

“Saya baru selesai ujian pagi ini.

“Keputusan memaklumkan Presiden adalah negatif Covid-19,” katanya dalam sidang media.

Ini ujian kali kedua dilakukan Trump dengan menggunakan kaedah pantas yang hanya mengambil masa satu minit untuk dilengkapkan berbanding 15 minit untuk ujian normal.

“Saya meneliti berapa pantas ia berfungsi dan kelihatan lebih mudah. Saya lakukannya dua kali namun kali kedua lebih mudah,” katanya.

Ujian pertama dijalankan pertengahan Mac lalu dan keputusannya diperoleh dalam tempoh satu jam.

Trump, 73, sebelum ini enggan menjalani ujian selepas mendakwa Covid-19 tidak seteruk yang disangka dan sekadar selesema biasa yang tidak akan memberi impak besar kepada ekonomi.

Sejak itu, beliau menggelarkan dirinya ‘Presiden Tempoh Perang’ dan ujian pertama diambil selepas beliau menjadi kontak kepada beberapa rakan delegasi Brazil yang melawat resortnya di Forida sebelum mereka dilaporkan positif.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19