Tuan Guru Ismail Kamus meninggal dunia

PENDAKWAH terkenal, Datuk Ismail Kamus disahkan meninggal dunia di rumahnya di Ampang, Selangor, jam 12.29 tengah malam tadi.

Wakil Unit Tarbiah Jabatan Amal Malaysia Selangor yang bertugas di rumah pendakwah itu, Mohd Fakhrul Ariff berkata, pihaknya dimaklumkan oleh anak arwah berhubung perkara itu.

“Semalam, arwah dibawa pulang ke rumahnya dari Hospital Ampang.

“Ketika arwah menghembuskan nafas terakhir, saya berada di rumah ini sebelum anaknya memaklumkan beliau meninggal dunia jam 12.29 tengah malam tadi,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Mohd Fakhrul berkata, sebelum arwah menghembuskan nafas terakhir, ada satu berita tular palsu mendakwanya sudah meninggal dunia jam 12.05 tengah malam tadi.

“Sebelum maklumat sahih mengenai pemergian arwah, ada satu berita palsu mendakwanya sudah meninggal dunia jam 12.05 tengah malam.

“Saya difahamkan ketika itu arwah belum lagi meninggal dunia seperti didakwa,” katanya.