Tunggak RM10j

HUTANG mencecah RM10 juta. Itu keseluruhan tunggakan gaji membabitkan empat pasukan iaitu Melaka, Kedah, Kelantan dan Pulau Pinang yang gagal diselesaikan pengurusan masing-masing walaupun sebelum ini menabur janji mahu berbuat demikian dengan kadar segera.

Melaka terus mengungguli ‘carta’ pasukan paling banyak menanggung tunggakan gaji setakat ini apabila merekodkan hampir RM5 juta belum dibayar kepada pemain dan pegawai pasukan membabitkan pembayaran Febuari dan Mac tahun ini.

Lebih memburukkan keadaan, pasukan terbabit juga mempunyai tunggakan RM800,000 kepada pemain membabitkan gaji 2019 yang perlu dibayar sebelum 30 April depan bagi mengelak dikenakan tindakan pemotongan enam mata.

Kelantan pula di kedudukan kedua dengan hutang lapuk kira-kira RM4 juta yang masih lagi dibayar secara ansuran kepada pemain menerusi perjanjian bersama.

Selain itu, dua pasukan dari utara tanah air iaitu Kedah dan Pulau Pinang pula mempunyai tunggakan gaji kepada pemain berjumlah kira-kira RM1 juta dengan pembayaran masih ‘sangkut’ ketika ini.

Tunggakan gaji yang dilihat begitu besar itu, sekali gus menyaksikan empat pasukan terbabit perlu bertungkus lumus menyelesaikan hutang lama sebelum memikirkan untuk memotong gaji pemain berikutan penundaan saingan liga akibat penularan Covid-19.

Naib Presiden Persatuan Bolasepak Melaka (Musa), Mohd Ashiq Abd Samad mengesahkan pasukannya gagal membayar tunggakan dua bulan gaji kepada pemain, sekali gus terpaksa melupakan inisiatif untuk memotong gaji itu.

“Hutang hampir RM4 juta membabitkan semua peringkat iaitu skuad utama hingga kepada belia termasuk pegawai pasukan. Kami berusaha mahu menyelesaikan keseluruhan tunggakan terbabit dan sekarang ini ada masalah sedikit berikutan tampuk pemerintahan Musa berubah,” katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Kelantan (Kafa) Hussin Deraman memaklumkan tunggakan kira-kira RM4 juta itu adalah hutang lapuk yang sudah mendapat persetujuan pemain untuk diselesaikan secara ansuran.

“Kafa sedia maklum perkara terbabit dengan hutang berkenaan bukan yang terbaharu, namun sudah lapuk dengan usaha membayarnya sedang dilakukan pasukan,” katanya.

Sebelum ini Pemilik Kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) Tunku Ismail Sultan Ibrahim menerusi Facebook Johor Southern Tiger mengingatkan empat pasukan Liga M iaitu Kedah, Melaka, Kelantan dan Pulau Pinang supaya pastikan segala hutang kepada pemain diselesaikan segera sebelum memotong gaji mereka.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19