Turkmenistan bebas COVID-19, nafi dakwaan sorok data rasmi

Turkmenistan pada Rabu menafikan dakwaan berhubung kerajaannya menyembunyikan data rasmi kes jangkitan COVID-19. – Gambar Twitter

TURKMENISTAN: Turkmenistan pada Rabu menafikan dakwaan berhubung kerajaannya menyembunyikan data rasmi kes jangkitan wabak COVID-19.

Menteri Luar Negeri, Rashid Meredov berkata bilangan rasmi adalah benar dan kerajaan sama sekali tidak menyembunyikan sebarang maklumat, lapor Reuters.

“Sekiranya meningkat satu kes COVID-19 sekali pun, kami akan melaksanakan tanggungjawab untuk memaklumkan segera kepada Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).

“Kami tidak menyembunyikan apa-apa,” katanya kepada Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).

Sementara itu, Menteri Kesihatan, Nurmukhammed Amannepesov turut memaklumkan bahawa negara-negara Asia Tengah kini mempunyai 30,000 kit ujian yang digunakan dan memesan sejumlah 40,000 dari Rusia, Turki dan Jerman.

Beliau berkata seramai 151 orang rakyatnya diletakkan di zon kuarantin yang rata-ratanya dalam kalangan warganegara bekerja sebagai pemandu trak jauh dan krew-krew kapal.

Kerajaan itu, dalam masa sama, telah membuka semula beberapa sempadan negara dan turut bercadang untuk membuka lagi termasuk sempadan Iran selepas membuat sekatan hujung bulan lalu.

Terdahulu, negara itu, bagaimanapun, dilaporkan dilanda sindrom penafian apabila kerajaannya melarang perkataan COVID-19 daripada digunakan media tempatan atau risalah maklumat kesihatan dan menafikan penyakit itu wujud di negara mereka.

BACA: Turkmenistan larang warga pakai topeng muka, sebut COVID-19

Untuk rekod, Korea Utara, selepas Turkmenistan antara negara yang berada di kedudukan terbawah menerusi Indeks Kebebasan Dunia 2020.

Menerusi ranking itu, kumpulan bukan berasaskan keuntungan Reporters Without Borders (RSF) turut melaporkan bahawa Turkmenistan merupakan sebuah negara yang paling ‘tertutup’ ekoran kawalan kerajaan terhadap media dan tahap kawalan kebebasan internet juga ditapis dengan ketat.

Sementara itu, seperti Turkmenistan, Korea Utara juga disifatkan masih mengekalkan tabiat buruk (kebebasan media) ketika melaporkan pandemik COVID-19.

BACA: Indeks Kebebasan Media Dunia 2020: Malaysia di tempat 101, naik 22 mata