Ucapan hari lahir Dr Noor Hisham ‘trending’

RIBUAN ucapan selamat, doa dan harapan ditujukan khas kepada Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah sempena sambutan ulang tahun kelahiran beliau ke-57, hari ini.

Dr Noor Hisham dilahirkan pada 21 April 1963 dari Sepang, Selangor itu adalah individu berperanan besar menangani pandemik Covid-19 di negara ini.

Nama beliau berada di tangga pertama carta sohor kini (trending) di Malaysia dengan tanda pagar #HappyBirthdayDGHisham.

Ucapan dan harapan itu bukan saja disampaikan petugas kesihatan tetapi juga rakyat negara ini menerusi akaun Facebook dan Twitter dengan mendoakan beliau sentiasa dirahmati dalam mengharungi cabaran melanda negara ketika ini.

Mereka antara lain mendoakan beliau dimurahkan rezeki dan dilindungi serta dipermudahkan urusan dalam memerangi penularan wabak berkenaan.

Dalam ciapan di Twitter, Amalinamohamed mengucapkan “terima kasih atas kesungguhan serta kredibiliti diberikan. Selamat ulang tahun Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Begitu juga halemyroslee mengucapkan “Selamat hari lahir. Semoga diberikan kesihatan yang baik, dimurahkan rezeki dan berbahagia bersama keluarga tersayang. Terima kasih atas jasa dan pengorbanan dalam melawan Covid-19.

Selain itu, HananiCheMat “Saya berjanji akan ikut arahan PKP sebaik mungkin. Saya akan duduk rumah seperti yang Dr minta sebagai hadiah birthday hari ini. Thank you for being our hero. May Allah bless you and family. Together we fight this Covid-19 pandemic.”

Semalam, Dr Noor Hisham menyeru rakyat Malaysia untuk kekal duduk di rumah sebagai hadiah bermakna buat beliau ketika negara dilanda krisis pandemik Covid-19 ini.

Dalam ucapan ringkas selepas sidang media harian Covid-19 di Putrajaya semalam, beliau berkata; “Sempena hari jadi saya esok (hari ini), hadiah paling istimewa untuk saya ialah kalau boleh rakyat Malaysia kekal duduk di rumah dan amalkan kebersihan yang tinggi.”

Sebelum ini, Dr Noor Hisham diiktiraf setaraf dua lagi tokoh perubatan, Dr Anthony Fauci dari Amerika Syarikat dan Dr Ashley Bloomfield (New Zealand) sebagai ‘wajah paling dipercayai’ khususnya dalam menangani Covid-19.

Beliau dan dua lagi tokoh perubatan itu mendapat pengiktirafan media China serta menggelar mereka sebagai penyampai kebenaran dan wira dunia.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19