Ucapan tahniah paling ‘pedas’ untuk pengantin

Jakarta: Mengirimkan jambangan bunga dengan ucapan paling ‘pedas’ ke majlis perkahwinan.

Itu cara unik seorang wanita di Indonesia bagi menagih hutang daripada individu yang menganjurkan wang kutu.

Ternyata perkongsian Irena Junita Sari dalam video TikTok itu mengundang perhatian warganet hingga ia ditonton lebih 1.5 juta kali, 90,000 like (tanda suka) dan lebih 1,000 komen.

Ramai warganet mendapat inspirasi dengan keunikan wanita itu menagih hutang bernilai satu bilion rupiah (RM287,932).

Menurut Irena, wang kutu itu hasil kutipan hampir 300 individu ahli kumpulan WhatsApp yang dilarikan seorang individu yang melangsungkan perkahwinan, pada 23 Disember lalu.

“Saya sudah meminta secara baik dengan dia, tetapi tidak mendapat maklum balas daripadanya.

“Geram dengan sikap tidak bertanggungjawab itu, saya nekad mengirimkan bunga dan kad ketika majlis perkahwinannya,” katanya seperti dipetik portal Detik.com.

Dalam video tular itu, Irena menulis ucapan selamat pengantin baharu kepada individu itu selain turut menyindir.

“Selamat menikmati wang haram, hasil curi wang kutu.

“Bila hendak bayar?” tulisnya dalam ucapan itu.

Katanya, kiriman bunga dan ucapan itu usaha terakhir dilakukannya selepas meminta secara baik dengan individu terbabit.

Selain itu, dia turut mendapatkan bantuan pihak berkuasa, tetapi usaha itu belum berhasil.