UK kekal langkah kawal penularan COVID-19 sehingga selamat

Dominic Raab mengadakan sidang media harian secara digital berhubung COVID-19 di 10 Downing Street, London, Britain, 13 April, 2020. REUTERS

UNITED Kingdom (UK) menegaskan arahan tidak keluar rumah sedia ada akan kekal sehingga keadaan sudah selamat.

Setiausaha Luar Dominic Raab berkata, ketika ini terdapat tanda positif yang menunjukkan usaha memerangi penularan COVID-19 di UK berada di landasan yang betul.

"Di sebalik angka kematian yang membimbangkan, data menunjukkan ada tanda-tanda positif yang kita sudah mula menang dalam perjuangan ini. 

"Tetapi, perjalanan kita masih panjang. Kita masih belum melepasi kemuncak virus ini," kata Raab, yang melaksanakan tugas Timbalan Perdana Menteri, pada sidang media harian beliau di London pada Isnin. 

Tambahnya, kumpulan penasihat saintifik untuk kecemasan pada minggu ini akan menyemak sama ada langkah yang diambil UK ketika ini efektif atau sebaliknya.

Namun, beliau membayangkan, tiada perubahan bakal dibuat dalam masa beberapa hari ini.

Pada Isnin, jumlah kematian akibat COVID-19 di hospital Britain meningkat kepada 11,329 orang. Angka tersebut adalah yang kelima tertinggi di seluruh dunia. 

Sementara itu, ketua penasihat saintifik kerajaan UK Patrick Vallance memberi amaran, angka kematian di negara itu akibat COVID-19 akan terus meningkat minggu ini.

Menurutnya, ia kemudiannya dijangka mendatar untuk dua hingga tiga minggu sebelum menurun, apabila kesan daripada penjarakan sosial mula kelihatan.

Perdana Menteri Boris Johnson, 55 tahun, pada 26 Mac lalu menjadi pemimpin negara pertama disahkan positif COVID-19.

Beliau ketika ini sedang menjalani proses pemulihan di kediaman rasminya sejak keluar hospital pada Ahad (12 April), selepas menjalani rawatan selama tiga minggu di Hospital St Thomas di London.