Umno perlu beri penjelasan – Takiyuddin

Kuala Lumpur: Umno perlu memberi penjelasan berhubung dakwaan berlakunya perubahan sokongan ahli parlimennya kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dalam satu kenyataan Setiausaha Agung Pas Datuk Takiyuddin Hassan berkata, jika perkara itu benar maka Umno tidak mematuhi perjanjian dan persetujuan yang dimeterai dalam Piagam Muafakat Nasional yang ditandatangani pada 14 September tahun lalu.

Katanya, piagam itu dizahirkan berteraskan matlamat menyatupadukan umat Islam dalam negara, sekali gus berusaha mengalahkan Pakatan Harapan yang diterajui PKR, DAP dan Amanah.

“Justeru sekiranya peralihan ini benar maka ia boleh dianggap sebagai satu gerakan bertujuan menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang terbina atas permuafakatan Barisan Nasional (BN), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas, GPS dan beberapa parti lain atas kejatuhan kerajaan PH.

“Sehubungan itu Pas berharap dapat penjelasan daripada Umno atas dasar rakan muafakat dalam Muafakat Nasional, seterusnya mengajak Umno untuk kembali menghayati iltizam yang disepakati secara bersama ini,” katanya.

Sebelum ini, Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau menerima maklumat terdapat Ahli Parlimen Umno dan BN menyatakan sokongan terhadap Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membentuk kerajaan baharu.

Ia susulan pengumuman Anwar yang mendakwa mempunyai sokongan dan jumlah yang cukup untuk menubuhkan kerajaan baru bagi menggantikan kerajaan PN.

Berita berkaitan:

  • Ada Ahli Parlimen Umno, BN nyata sokongan kepada Anwar: Ahmad Zahid
  • Saya masih Perdana Menteri: Muhyiddin
  • Agong titah semua pihak utamakan kesejahteraan rakyat
  • Anwar rakus, gila kuasa
  • GPS berdiri teguh di belakang Muhyiddin
  • DAP sokong Anwar
  • PM tenang saja
  • ‘Kerajaan tidak tumbang dengan hanya isytihar sahaja’
  • Amanah sokong Anwar
  • ‘Saya dapat sokongan hampir dua pertiga Ahli Parlimen’ – Anwar
  • Anwar umum dapat sokongan kukuh bentuk kerajaan baharu