Usah melulu buat kecaman

Kuala Lumpur: Jangan kecam membabi buta berikutan harga minyak masak di dalam botol yang dijual di pasaran tidak dikawal kerajaan.

Jurucakap Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berkata, heboh di media sosial apabila nitizen memperkatakan isu kenaikan harga minyak masak di dalam botol di pasaran sejak beberapa hari lalu.

Menurutnya, apakah yang perlu diketahui dan difahami sebagai pengguna adalah minyak masak botol tidak diberikan subsidi oleh kerajaan.

“Ia dijual mengikut harga pasaran berdasarkan mekanisme pengapungan harga serta harga ditetapkan oleh penjual.

“Kerajaan secara jelas tidak menetapkan harga minyak masak botol. Sebab itu, pengguna boleh melihat, harganya berubah-ubah.

“Ini dinamakan harga mengikut pasaran semasa. Persaingan harga sihat antara peniaga juga berlaku,” katanya.

Menurutnya, terdapat banyak pilihan variasi harga minyak masak botol untuk pengguna dan mereka masih boleh membuat pilihan terbaik mengikut harga bersesuaian.

“Hanya minyak masak jenis peket seberat satu kilogram (kg) yang diberikan harga subsidi oleh kerajaan dengan harga runcit RM2.50

“Bagaimanapun KPDNHEP tidak memandang ringan isu kenaikan harga minyak masak di pasaran termasuk harga minyak masak di dalam botol,” katanya.

Menurutnya, KPDNHEP sentiasa membuat pemeriksaan di setiap rantaian pengedaran dan notis juga dikeluarkan kepada peniaga supaya memberikan tunjuk sebab mengapa menaikkan harga minyak masak di dalam botol.

“Pihak KPDNHEP juga membuat semakan bagi memastikan tiada elemen cuba mengaut keuntungan lebih dalam kalangan peniaga dan pembekal minyak masak.

“Bagaimanapun, pengguna dinasihatkan membuat semakan harga semasa dan membuat perbandingan harga melalui dalam sistem aplikasi price catcher,” katanya.