Ustaz didakwa rogol, liwat pelajar

SEORANG ustaz sekolah menengah agama didakwa di Mahkamah Sesyen Pasir Mas hari ini terhadap lima pertuduhan merogol dan meliwat pelajar berusia 14 tahun, pada Julai dan Ogos.

Tertuduh, Muhammad Nursalam Hazeman, 30, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Rosly Mohamed Nawi.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Faizuan Sulaiman, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mengikut pertuduhan pertama hingga keempat, tertuduh didakwa merogol remaja berusia 14 tahun pada 3, 10, 17 dan 24 Julai di sebuah rumah di Wakaf Bharu, Tumpat, 2.30 petang.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan. Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan.

Bagi pertuduhan kelima, tertuduh didakwa melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii pada 3 petang di lokasi sama pada 1 Ogos.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan. Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan dikenakan sebatan.

Mahkamah menetapkan 13 September sebagai tarikh sebutan semula kes.