Video Asri Janggut: Akan ada penguat kuasa agensi lain ditahan [METROTV]

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menolak kemungkinan akan ada lagi anggota penguat kuasa agensi lain yang bakal ditahan berhubung kes melindungi aktiviti perjudian dan penjualan rokok haram di Sungai Buloh.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, setakat ini, pihaknya menahan anggota penguat kuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan tidak tolak kemungkinan tindakan sama akan membabitkan penguat kuasa agensi lain.

“Yang mana pihak terlibat (dalam kes berkenaan) sudah tentu kita akan siasat,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas melancarkan Program SPRM PUBG Mobile i-Challenge, di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya, hari ini.

Pada masa sama, Azam turut meminta supaya masyarakat bersabar supaya pihaknya dapat jalankan tindakan penguatkuasaan di bawah bidang kuasanya.

Ketika ditanya sama ada pihaknya turut dimaklumkan mengenai isu perjudian yang dijalankan di kawasan lain selain di Sungai Buloh seperti didedahkan sebelum ini, Azam berkata, beliau tidak nafikan pihaknya ada menerima maklumat sedemikian dari seluruh negara.

AZAM ketika sidang media majlis pelancaran Program SPRM PUBG Mobile i-Challenge di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
AZAM ketika sidang media majlis pelancaran Program SPRM PUBG Mobile i-Challenge di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah

“Saya tak nafikan kami terima maklumat dari seluruh negara berhubung kegiatan perjudian, rumah urut yang dilindungi oleh anggota penguat kuasa.

“Namun, kita perlukan bukti dan sokongan keterangan saksi ketika siasatan terhadap aduan berkenaan dijalankan. Saya memang puji kalau ada individu seumpama ini datang untuk beri maklumat dan sanggup bekerjasama.

“Kalau nak cari individu untuk dedahkan satu perkara dan jadi saksi, ia adalah amat sukar sekali. Saya boleh katakan perkara itu berleluasa di seluruh negara dan melalui perisikan, perkara itu memang berlaku,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan SPRM menahan tiga anggota penguatkuasa MBSA di Cawangan Sungai Buloh kerana disyaki melindungi premis perniagaan tanpa lesen di kawasan berkenaan.

Penguat kuasa berusia antara 41 hingga 49 tahun itu turut disyaki mengutip dan menerima rasuah secara bulanan.