Video Asri Janggut: ‘Berani buat, beranilah tanggung’ – KP Selangor

“BERANI buat, beranilah tanggung” tegas Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin, berhubung pembabitan anggota dan pegawai polis yang bersekongkol dengan sebarang kegiatan haram termasuk kegiatan judi haram.

Beliau menegaskan, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana anggota atau pegawai polis di bawah seliaannya jika terbukti terbabit dengan sebarang kegiatan haram dan tindakan sewajarnya akan dikenakan terhadap mereka.

Ini termasuk kemungkinan ada anggota dan pegawai polis yang melindungi kegiatan perjudian haram dan penjualan rokok seludup di Bandar Baru Sungai Buloh seperti yang didedahkan pengasas Hot Burger Malaysia, Mohd Asri Hamid di media sosial, baru-baru ini.

“Dalam kes ini, kita serahkan kepada Jabatan Integriti dan Pematuhan Standards (JIPS) Bukit Aman dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mengambil tindakan.

“Polis Selangor tidak akan campur tangan dalam urusan siasatan dan tindakan kerana kita tidak mahu nanti kita dikatakan berat sebelah, jadi kita serahkan siasatan kepada dua pihak berkenaan.

“Sekiranya memang benar ada anggota kita yang terbabit dengan kegiatan haram seperti yang didedahkan itu, maka terpaksalah mereka terima akibatnya. Mereka berani buat, maka beranilah tanggung,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan pihaknya tidak mengambil sebarang tindakan terhadap Mohd Asri yang membuat pendedahan berkenaan menerusi satu rakaman video itu.

“Beliau bukan suspek, sebaliknya adalah pemberi maklumat. Justeru, kita tidak akan ambil sebarang tindakan terhadapnya.

“Kita hargai setiap maklumat dan pendedahan yang disalurkan oleh orang awam namun kita berharap segala maklumat itu disalurkan dengan cara yang betul demi keselamatan mereka sendiri,” katanya.

Menurutnya, banyak cara yang lebih selamat untuk menyalurkan maklumat termasuk dengan datang sendiri ke mana-mana balai polis berhampiran, atau pergi sendiri ke jabatan yang berkenaan di Bukit Aman.

“Maklumat berhubung sebarang kegiatan jenayah juga boleh disalurkan menerusi aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) yang boleh dimuat turun menerusi telefon bimbit.

“Setiap maklumat yang diterima akan disiasat dan tindakan sewajarnya akan dibuat sekiranya siasatan mendapati memang benar ada sebarang kegiatan jenayah berlaku di lokasi yang didedahkan oleh pengadu,” katanya.