Video polis tinggi suara, siasat semua pihak

SIASATAN menyeluruh sedang dijalankan polis berhubung rakaman video tular membabitkan anggota meninggikan suara terhadap lelaki yang diperiksa ketika sekatan jalan raya di Seri Kembangan, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Ismadi Borhan berkata, kejadian itu berlaku ketika anggota polis bertugas melakukan proses dokumentasi terhadap lelaki berusia lingkungan 30-an berkenaan jam 4.30 petang.

“Lelaki itu diperiksa untuk soal siasat lanjut mengenai tujuan dan destinasi dituju semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasa ketika ini.

“Ketika pemeriksaan dilakukan, lelaki itu marah dan meninggikan suara menyebabkan anggota bertugas terpaksa menasihatinya dengan nada tinggi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ismadi berkata, tiada sebarang tangkapan dilakukan terhadap lelaki berkenaan sebaliknya dia diarahkan membuat pusingan semula selepas alasan diberikan tidak munasabah.

“Dia memaklumkan mahu membeli makanan di kedai makan pilihannya sedangkan ada banyak lagi kedai lain berdekatan rumahnya.

“Justeru, kami akan memanggil semua individu yang terbabit untuk diambil keterangan termasuk lelaki berkenaan supaya semua pihak, sama ada polis mahupun orang awam mendapat hak keadilan sewajarnya.

“Selain itu, siasatan dalaman juga dilakukan bagi melihat sekiranya berlaku pelanggaran disiplin oleh anggota bertugas,” katanya.

Beliau menggesa orang ramai supaya mematuhi arahan PKP dan memberi amaran keras supaya tidak mengingkari arahan daripada pihak berkuasa.

“Semua orang perlu duduk di rumah dan jika mahu membeli makanan, belilah di kedai berhampiran kerana ini bukan masanya untuk kita mencari kedai pilihan.

“Adalah penting untuk kita akur dengan perintah PKP bagi memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19 daripada terus merebak,” katanya.

Terdahulu, satu video berdurasi 17 saat menunjukkan seorang lelaki memarahi anggota polis bertugas sebelum seorang daripada mereka meninggikan suara bagi menegur lelaki berkenaan tular di media sosial sejak semalam.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan