Wan Kamal nak beli Kelantan

BAPA Wan Kuzain dan Wan Kuzri yang kini menetap di Amerika Syarikat (AS), Wan Kamal mengesahkan sedia menyelamatkan pasukan Kelantan apabila berhasrat untuk membeli pasukan itu dalam masa terdekat.

Menerusi postingnya di laman Twitter, Kamal menyatakan keinginan untuk membeli tetapi semua hutang tertunggak perlu diselesaikan.

“Saya sedia membeli pasukan tetapi hutang berkenaan mesti diselesaikan terlebih dahulu,” katanya.

Perkembangan itu nyata disambut baik oleh Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) yang menganggap Kamal sebagai wira yang menyelamatkan bola sepak di negeri Cik Siti Wan kembang itu.

Menurut Setiausaha Agung KAFA, Hussin Deraman, pihaknya amat mengalu-alukan kesediaan Kamal untuk membeli pasukan terutamanya Kelantan FC yang akan bergerak secara berasingan daripada KAFA.

Katanya, pihaknya akan terus berhubung dengan Kamal yang kini menetap di Carbondale, Illinois, AS untuk berbincang lebih lanjut mengenai pembelian pasukan itu.

“Hutang sebanyak RM4.5 juta akan tetap ditanggung oleh KAFA. Sekiranya bapa Kuzain berjaya membeli pasukan, dia akan menjadi pemilik penuh Kelantan FC dan dia tak perlu fikir mengenai hutang KAFA.

“Dia boleh tumpu sepenuhnya kepada kelab saja manakala KAFA akan beri fokus kepada pembangunan dan hutang lapuk untuk diselesaikan.

“Bak kata pepatah melayu ‘kecil tapak tangan, nyiru kami tadahkan’. Memang kehadiran dia tepat pada masa dan ia akan banyak membantu serta menyelamatkan pasukan Kelantan,” kata Hussin ketika dihubungi Arena Metro.

Ditanya mengenai jumlah bayaran yang akan ditetapkan KAFA untuk menjual saham kepada Kamal, ia akan diputuskan dalam mesyuarat tidak lama lagi.

“Pada dasarnya jika pihak yang berminat urus Kelantan FC mulai 2021 sudah amat bagus. Cuma perlu ada sedikit imbuhan secara royalti tahunan untuk KAFA urus bayar hutang dan buat pembangunan bola sepak.

“Tiada nilai yang besar, yang penting sanggup dan mampu ambil alih di mana KAFA sudah lama swastakan pasukan yang wujud iaitu TRW Sdn Bhd yang akan memiliki Kelantan FC secara total,” katanya.

Malah, pembelian Kamal itu secara langsung akan melengkapkan terus sistem penswastaan pasukan Kelantan seperti mana yang diwajibkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang meletakkan 30 September ini tarikh akhir buat semua pasukan liga tempatan untuk bergerak berasingan daripada FA Negeri.

Kegagalan akan menyebabkan pasukan tidak dibenarkan beraksi dalam Liga Malaysia musim depan.

Wan Kamal luah hasrat sedia beli kelab bola sepak Kelantan menerusi Twitternya.
Wan Kamal luah hasrat sedia beli kelab bola sepak Kelantan menerusi Twitternya.