Wan Kamal tak jadi beli Kelantan

KIBARAN bendera putih terpaksa dinaikkan oleh calon pembeli kelab Kelantan FC dari Amerika Syarikat (AS), Wan Kamal Wan Napi apabila memutuskan untuk menarik diri daripada membeli skuad The Red Warriors (TRW).

Sememangnya keputusan itu amat sukar dan cukup berat buat Wan Kamal apatah lagi beliau adalah salah seorang dalam jutaan penyokong setia pasukan itu sejak kecil lagi.

Namun, selepas mengadakan beberapa siri perbincangan bersama Jawatankuasa Dalaman terdiri daripada peguam, ahli keluarga, pendapat rakan-rakan di Malaysia serta individu yang mahir mengenai Liga Malaysia (Liga-M), beliau terpaksa melepaskan impiannya itu buat masa ini.

Katanya, penghalang terbesar adalah disebabkan jarak yang jauh serta impak pandemik Covid-19 ketika ini.

“Jangan salah faham, saya adalah peminat setia Kelantan dari dulu hingga sekarang. Saya hanya nak bantu pasukan yang mengalami masalah kewangan kerana tuhan gerakkan hati.

“Tetapi selepas berbincang dan meneliti, saya putuskan untuk beri peluang kepada pihak lain dahulu. Dengan masalah Covid-19 yang menyukarkan perjalanan dari satu negara ke satu negara, saya terpaksa lupakan dulu buat sementara,” katanya kepada Arena Metro, semalam.

Menurutnya lagi, beliau turut dimaklumkan bahawa terdapat tiga lagi calon pembeli yang berhasrat untuk melabur sebagai pemilik Kelantan FC.

“Alhamdulillah sudah ada tiga pembeli yang berminat untuk mengendalikan TRW. Jadi saya akan mengundur diri untuk memberi ruang kepada mereka untuk membeli dan membawa perubahan dalam KAFA.

“Mereka lebih berhad untuk membelinya sebab mereka menetap di sana (Malaysia). Senang nak mengurus,” kata Kamal yang juga bekas pemain Kelantan dalam saingan Piala Razak.

Menerusi laporan akhbar ini Selasa lalu, bapa kepada Wan Kuzain dan Wan Kuzri itu menyatakan hasrat untuk menyelamatkan skuad Cik Siti Wan Kembang apabila sedia membeli pasukan yang kini dihimpit hutang mencecah RM4.6 juta.

Bagaimanapun, beliau yang kini menetap di Carbondale, Illinois, Amerika Syarikat (AS) menyatakan keinginan itu dengan bersyarat, apabila menegaskan hutang lapuk itu perlu diselesaikan sendiri oleh KAFA tanpa membabitkan pemilik baharu pasukan.

Hasrat berkenaan disambut baik KAFA yang mengesahkan segala hutang hanya akan ditanggung oleh mereka dan menetapkan RM3 juta sebagai harga jualan dan RM1 juta untuk bayaran royalti setahun, manakala hasil keuntungan jualan tiket, jersi, cenderamata dan geran Liga-M diserahkan sepenuhnya kepada pemilik kelab.

Jelas Kamal lagi, pemilik baharu bukan saja bertanggungjawab mengubah nasib pasukan, malah paling utama adalah menjaga kebajikan pemain dengan tidak culas membayar gaji.

“Pemain seperti rakyat biasa ada anak bini untuk dijaga dan kalau gaji disekat atau ditunda, macam mana mereka nak beli makanan untuk anak isteri mereka. Tempat tinggal kena bayar lagi, anak sekolah nak kena jaga, pakaian nak kena beli dan lain-lain keperluan harian.

“Seperti mana yg ditegas oleh TMJ (Tunku Ismail Sultan Ibrahim) gagal untuk membayar gaji adalah kegagalan paling besar seorang pemimpin adalah tepat.

“Jika anak saya sendiri pun kalau tidak dibayar gaji selaku pemain profesional saya juga sensitif. Jadi urus lah dengan baik demi agama, bangsa dan negara. Semoga semuanya dirahmati dan diberkati oleh Allah hendaknya.”