‘Wang milik saya, ibu bapa’ – Syed Saddiq

WANG yang hilang di rumah Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di Petaling Jaya adalah wang peribadi milik beliau dan ibu bapanya.

Syed Saddiq mendakwa, wang itu sebahagian besar untuk pengubahsuaian rumah dan bagi tujuan peribadi.

“Saya dan keluarga tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyikan. Kami sendiri yang membuat laporan polis berkenaan kehilangan wang itu.

“Sekiranya benar duit itu duit haram, kenapa kami membuat laporan polis? Saya akan memberikan kerjasama penuh dalam membantu siasatan SPRM,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, ibu bapanya juga sudah membuat laporan polis mengenai kehilangan wang itu.

“Mereka juga sudah membuat laporan polis berkenaan kehilangan wang itu yang mana RM90,000 adalah milik saya, RM50,000 milik ibu dan RM70,000 milik ayah saya.

“Wang itu dikeluarkan bagi tujuan pengubahsuaian rumah yang kami miliki bersama dan juga untuk tujuan peribadi,” katanya.

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu berkata, sehingga kini beliau tidak memiliki rumah.

“Sampai sekarang saya tidak memiliki rumah. Dengan itu saya Abuyah (bapa) dan mama (ibu) mengambil keputusan membeli rumah bersama.

“Saya berhasrat berpindah selepas rumah itu siap diubahsuai. Pengubahsuaiannya masih belum siap, perkakasan elektrik dan perabot juga belum dibeli,” katanya.

Menurut beliau, beliau sudah mengarahkan pegawainya untuk membuat laporan polis dan mengambil tindakan kepada mereka yang memfitnahnya dan keluarga.

“Ini adalah fitnah untuk menjatuhkan reputasi saya dan keluarga. Saya juga tidak akan berkompromi perkara berkenaan integriti dan kami sekeluarga akan memberi kerjasama penuh dalam membantu pihak polis dan SPRM.

“Saya harap semua pihak hentikan spekulasi dan memberi ruang kepada pihak berkuasa membuat siasatan,” katanya.

Semalam, Syed Saddiq mengesahkan kecurian berlaku di kediamannya dan polis sudah membuat siasatan di rumah sejak malam kelmarin.

Bagaimanapun, beliau mendakwa, laporan media sebelum ini bahawa kehilangan RM250,000 milik Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) adalah tidak benar.

Berita berkaitan

• Bekas menteri hilang RM200,000

• SPRM siasat pemilikan wang bekas menteri