Warga emas dibunuh anak [METROTV]

Ipoh: Seorang bapa berusia 75 tahun maut dibunuh anak lelakinya di rumah mereka di Kampung Rapat bersebelahan Pasar Gunung Rapat di sini, malam ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh Superintendan Mohamad Nordin Abdullah berkata, dalam kejadian jam 7 malam itu, suspek berusia 49 tahun dan mangsa dipercayai terbabit dalam pergaduhan.

“Suspek dipercayai bertindak mencederakan mangsa menggunakan botol kaca.

“Polis yang tiba di lokasi kejadian mendapati terdapat seorang lelaki dalam keadaan cedera di muka, leher dan kepala.

ANGGOTA polis mengangkat mayat mangsa untuk dibawa ke hospital. FOTO Balqis Jazimah Zahari
ANGGOTA polis mengangkat mayat mangsa untuk dibawa ke hospital. FOTO Balqis Jazimah Zahari

`

“Mangsa ditemui dalam keadaan terbaring di ruang tetamu dan ketika polis tiba suspek (anak) tidak cuba melarikan diri malah berada di sisi bapanya,” katanya kepada pemberita di tempat kejadian, di sini.

Mohamad Nordin berkata, difahamkan suspek sudah 20 tahun mengalami penyakit mental dan sering menerima rawatan.

“Suspek juga berniaga sekali dengan bapanya di kedai runcit di dalam Pasar Gunung Rapat berkenaan,” katanya.

Katanya, pihaknya masih menyiasat punca kejadian bunuh terbabit dan suspek sudah ditangkap polis.

“Suspek tidak mempunyai jenayah lampau dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.