Warga Jakarta sudah mula mudik, tinggalkan kota

Indonesia yang berpenduduk hampir 270 juta setakat ini setakat sudah menyaring 7,896 individu di 120 kota dan daerah seluruh negara. – Foto REUTERS

WARGA Jakarta sudah mula meninggalkan kota berpenduduk lebih 9 juta bagi persediaan menyambut puasa Ramadan dan lebaran pada 1 Syawal.

Acara tahunan mudik – udik dalam Bahasa Indonesia bermakna pulang atau belayar ke pedalaman – bermula lebih awal tahun ini disebabkan ramai warga Jakarta kehilangan punca pendapatan dalam suasana pandemik COVID-19.

Lampu hijau untuk mudik diberi Presiden Joko Widodo pada Khamis (2 April), bertentangan dengan nasihat pakar kesihatan Indonesia.

Namun kebenaran mudik bersyarat – mereka yang pulang dikira berstatus Orang Dalam Pemantauan (ODP) atau `people under observation’ sebagaimana ditetapkan pemerintah setiap provinsi atau daerah bertepatan dengan protokol Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).

Menurut laman berita kompas.com, penakrifan ODP kini lebih meluas untuk mengambil kira semua orang yang datang dari kawasan yang ada kes COVID-19 sama ada sihat mahupun sakit.

Protokol yang dipersetujui termasuk para pemudik perlu mengurung diri atau 'karantina mandiri' (self isolate) di rumah selama 14 hari.

Pada tahun lalu, mudik melibatkan pergerakan hampir 20 juta rakyat seluruh Indonesia meninggalkan bandar bandar besar untuk pulang ke kampung.

Walaupun tidak melarang mudik pada tahun ini, Presiden Jokowi memohon ketua daerah untuk mengambil langkah tidak menggalakkan warga kota bergerak bebas.

Tambah Jokowi, pemerintah Jakarta bersedia dengan rancangan menghulur bantuan masyarakat melibatkan hampir 3.5 juta warga ibukota Indonesia agar memilih tidak mudik ke kampung halaman.

Sementara itu, Reuters melapor statistik terkini (Sabtu 4 April) menunjukkan Indonesia sudah mencatatkan 198 kematian daripada 2,273 kes COVID-19.

Indonesia yang berpenduduk hampir 270 juta setakat ini setakat sudah menyaring 7,896 individu di 120 kota dan daerah seluruh negara.

Jumlah ini menimbulkan keraguan kalangan ramai pemerhati mempertikai kesahihan perangkaan yang dikatakan rendah akibat kurang saringan.

Agensi berita Reuters melapor jumlah pengkebumian meningkat mendadak pada bulan Mac yang menyebabkan Gabenor Jakarta sendiri meragui angka kes dan kematian akibat COVID-19 seluruh negara sebenar.

Pada bulan Mac, terdapat 4,400 jumlah pengkebumian – 40% lebih dari angka yang tercatat pada Januari 2018. Pada Mac tahun lalu, tedapat 3,100 acara pengkebumian di Jakarta.

Kota Jakarta merupakan titik tumpu penularan COVID-19 di Indonesia dengan hampir 1,000 kes dan 90 jumlah kematian.