Yakin kuasa media sosial

Sudirman Mohd Tahir

[email protected]

KETIKA ini berlakon bukan menjadi keutamaan buat figura yang mula mencipta nama selepas menyertai pertandingan Dewi Remaja 2009/2010.

Apa yang menjadi fokus Syatilla Melvin, 29, atau nama sebenarnya Siti Nur Syatilla Amirol Melvin adalah perniagaan yang sudah diusahakan sejak lebih setahun lalu.

Malah, Syatilla atau mesra disapa Tilla yakin media sosial yang wujud hari ini sedikit sebanyak membantu diri dan perniagaan dibina untuk terus berkembang maju.

“Saya tak takut orang lupa sebagai pelakon sebab percaya kuasa media sosial sekarang. Ada instafamous lebih terkenal daripada artis. Jadi, saya tak takut perkara itu.

“Kalau dulu masa zaman tidak ada media sosial, artis kena konsisten untuk terus berlakon sebab nak masyarakat nampak masih wujud dalam insdutri. Jadi, apabila ada media sosial perkara ini tak kacau,” katanya.

Kali terakhir Tilla yang juga isteri pelakon terkenal, Shaheizy Sam ini berlakon drama iaitu dua tahun lalu menerusi drama Selafaz Cinta.

Menurut Tilla, keputusan untuk memperlahankan kerjaya seni dengan menceburi cabang perniagaan disebabkan masa depan.

SYUKUR Sam sangat menyokong pembabitannya dalam perniagaan.
SYUKUR Sam sangat menyokong pembabitannya dalam perniagaan.

“Ketika Aidilfitri lalu saya dan Sam ada muncul dalam cerita pendek Astro Gempak iaitu Serunding Raya. Tapi, kalau drama iaitu dua tahun lalu. Saya bukan berhenti, tapi dapat idea buat perniagaan sebab saya rasa sejujurnya masa berlakon dan saya tahu ramai pelakon susah. Dapat popular dan terkenal saja di TV, tapi tidak ada simpanan tetap.

“Kalau pandai menyimpan pandailah. Macam saya, saya tak dapat simpan duit. Tidak dapat beli aset dan apa yang saya nak. Orang nampak gah berlakon sana sini, tapi hakikatnya kita sendiri tahu. Sebelum apa-apa berlaku, saya cari jalan dan cuba buat benda lain.

“Tawaran sentiasa ada, tapi terpaksa tolak. Saya tak boleh buat banyak benda dalam satu masa. Memang rindu berlakon dan suasana di lokasi penggambaran. Tengok drama macam menarik saja, tapi apabila fikir masa depan, untuk terus berlakon dan harap duit berlakon semata-mata mungkin tidak. Perniagaan untuk jangka panjang,” katanya.

Pengikat kasih

Sukses dengan produk kosmetik Kekasih yang diusahakan bersama adik-beradik, Tilla juga bakal memperkenalkan produk jamu khusus buat gadis dan wanita yang sudah berkahwin.

Menurut Tilla, produk yang bakal dilancarkan bulan depan itu bukan saja menambahkan tenaga, tapi turut mengeratkan lagi hubungan suami isteri.

“Produk ini masih dalam pembangunan dan kajian (R&D). Insya-Allah bulan depan keluar. Saya sudah cuba sejak awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Memang saya suka dan nampak hasil. Apatah lagi saya dah makan jamu sejak usia 15 tahun.

“Kalau makan jamu saya rasa bertenaga lebih. Dari segi dalaman dapat rasa tenaga itu terutama selepas kahwin dan beranak. Kalau wanita yang menyusukan anak, ia sangat membantu.

“Saya pentingkan dalaman dan hubungan suami isteri. Hubungan suami isteri juga menjadi lebih hebat. Macam sekarang, banyak kes cerai berai sebab hubungan suami isteri. Jadi sebab itu saya nak teruskan sebab saya sudah rasa hasilnya,” katanya.

Bagaimanapun, Tilla mengakui sepanjang pembabitan dalam perniagaan dia belajar banyak perkara terutama dalam soal kepercayaan.

“Sepanjang perniagaan ini banyak belajar dan pengalaman. Saya pernah kena tipu dengan kilang. Perkara negatif yang berlaku sangat mahal untuk saya. Ratusan ribu juga kena tipu.

“Dari situ saya belajar jangan mudah percaya orang. Walau baik macam mana pun. Orang berniaga ini mulut manis, jadi kena lebih berhati-hati.

“Sam dia sangat okay saya berniaga. Dia kata apa saja yang mendatangkan duit buat saja. Kalau mendatangkan penat tak datang untung jangan buat. Dia sangat menyokong,” katanya.

Tilla dan Sam yang berkahwin pada 8 Februari 2016 mempunyai dua cahaya mata iaitu Sheriv Samheizy, 3, dan Sarima Samheizy, 2.