Zoo Kaherah ditutup, haiwan dan petugas menemani antara satu sama lain

Bagi salah seorang petugas veteran, Mohamed Aly, beliau tetap memegang tangan haiwan jagaan zoo tersebut sebagai simbolik ‘persahabatan’. Foto: Reuters

KAHERAH: Bandar Giza di Kaherah, Mesir yang kebiasaannya menjadi tarikan pelancong sedunia kini sepi selepas negara itu turut melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengekang penularan COVID-19.

Turut terkesan dengan pelaksanaan itu pastinya beberapa sektor utama termasuk tarikan pelancongan di negara berkenaan – antaranya Zoo Kaherah yang kini sunyi dan sepi tanpa pengunjung.

Beberapa haiwan seperti cimpanzi, singa dan badak sumbu hanya ditemani petugas zoo tersebut.

Memetik laporan Reuters, petugas zoo tetap tekun menjalankan tugas mereka dengan memberi makanan dan menemani haiwan-haiwan tersebut melalui sangkar.

Bagi salah seorang petugas veteran, Mohamed Aly, beliau tetap memegang tangan haiwan jagaan zoo tersebut sebagai simbolik ‘persahabatan’.

Namun mereka tetap menjaga kebersihan dan kesihatan dengan sering mencuci tangan setiap kali menguruskan haiwan-haiwan tersebut.

Proses nyah cemar juga dilakukan dua kali seminggu sejak ia mula ditutup 18 Mac lalu susulan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan di negara itu. 

“Saya sudah bekerja di sini sejak 15 tahun lalu, saya meluangkan hampir keseluruhan masa saya bersama haiwan-haiwan di sini.

“Walaupun haiwan-haiwan ini tidak dapat menyatakan perasaan, tetapi haiwan-haiwan ini dapat merasai perbezaannya. Pastinya kesemua haiwan ini mencari teman untuk bermain,” ujarnya.

BACA: PKP: Tabung kecemasan Zoo Negara mampu bertahan tiga bulan sahaja

Mesir sebelum ini mengumumkan perintah kawalan pergerakan untuk mengekang penularan COVID-19 dengan melaksanakan perintah berkurung pada waktu malam, penutupan sekolah, masjid dan pusat pelancongan.

Setakat Jumaat, negara itu mencatatkan 850 kes positif COVID-19 dengan  lebih 50 kematian.